Kota Baharu: Solat lima waktu syarat naik pangkat. Kerajaan negeri Kelantan bercadang menukar nama kaum orang asli kepada "orang asal". KL: Sejumlah 720 Sekolah Terlibat Program Rintis Penarafan Keselamatan Sekolah. Ipoh: Penduduk miskin terima 20 meter air percuma. London: Lelaki tidak subur selepas usia 35 tahun. Kabul: Serangan bom gegarkan Kedutaan India di Kabul.

01 Julai 2008

Pengaruh yang menghantui masa kini

Dalam zaman moden, zaman global dan teknologi maklumat dan komunikasi ini, terselit pelbagai pengaruh yang kuat dan perkasa ke atas keseluruhan anak-anak muda kita berbanding pengaruh agama itu sendiri. Pelajaran agama yang diterima melalui pendidikan formal daripada guru-guru mungkin hanya dimanfaatkan untuk tujuan kognitif, iaitu untuk lulus dalam peperiksaan sahaja. Sedangkan pengaruh lain, termasuk pengaruh Internet, filem, muzik dan sebagainya adalah merupakan anasir-anasir yang memberi makanan jiwa dan menusuk masuk ke dalam hati nurani mereka sehingga dapat dihayati dengan sepenuhnya.



Kita pun tidak tahu di manakah salahnya keadaan ini. Tetapi satu perkara yang jelas bahawa sekurang-kurangnya pengaruh muzik kegila-gilaan dan asing berjaya mengatasi unsur lain dalam mempengaruhi jiwa dan hati anak muda kita. Hal ini lebih berjaya mengisi kekosongan jiwa dan idealisme anak-anak muda, dan memberi mereka kepuasan dan hiburan, lebih daripada pengaruh nilai murni dan agama serta moral yang dalam konteks para pelajar tersebut tidak dapat memenuhi keperluan mereka.

Dalam keadaan ini, kita pun merasa bingung dan hairan kenapakah pengajaran agama dan moral yang sepatutnya dapat mengisi mental dan hati nurani para pelajar tiba-tiba mengalami kegagalan dan kelesuan. Perkara ini tentulah memerlukan perhatian serius. Para pengkaji dan guru sendiri mungkin dapat menoleh ke belakang melihat di manakah salahnya jalan yang telah mereka lalui, atau diri mereka sendiri yang telah tersesat jalan?

Di samping itu, pengaruh lingkungan dan persekitaran di sekeliling juga perlu diperhatikan dengan cermat untuk melihat cabaran yang menggawatkan kita semua ini. Mungkin media elektronik, iaitu TV yang menyediakan platform filem separuh lucah dan muzik separuh gila juga mempunyai pengaruh negatif terhadap pandangan hidup generasi muda kita.

TV rasmi kerajaan dan swasta mungkin perlu mencerminkan diri melihat wajah-wajah yang sebenarnya dalam konteks ini. Mungkin dalam hal ini kita tak perlu terlalu menyalahkan program-program yang diimport dari Barat, program keluaran tempatan sendiri mungkin juga tidak dapat memberi santapan rohani yang baik, apa lagi menjadikan penonton berfikir secara rasional dan logik.

Pengaruh lingkungan yang tentunya lebih berbahaya ialah Internet yang menyiarkan segala macam sampah sarap pembohongan, pornografi dan segala macam program yang bertujuan meraih keuntungan. Anak-anak muda tentulah lebih cenderung untuk menonton adegan yang membangkitkan nafsu, daripada mencari ilmu pengetahuan yang banyak dalam Internet. Program cit catnya sudah cukup membawa khayalan dan komunikasi yang lebih banyak diasaskan atas fantasi hidup yang kosong.

Filem separuh bogel dan muzik kegilaan dengan berlatarbelakangkan pornografi, malah program cit cat telah menjadi hidangan biasa di dalam TV berbayar di negara kita. Filem-filem Barat yang dikategorikan untuk yang berumur 18 tahun ke atas dapat ditonton pada bila-bila masa sahaja, sama ada pada waktu siang atau malam. Di samping itu banyak sekali program yang merangsangkan nafsu yang disiarkan berselindung di dalam program-program jenaka dari Barat.

Pendeknya di samping menyalahkan program import, kita juga harus melihat produk tempatan sendiri, agar ia lebih bermutu dan berkualiti, dari segi pengisian jiwa dan hati nurani semua kalangan anggota masyarakat. Semuanya ini merupakan bahan pemikiran bagi semua orang kerana tanggungjawab menyelesaikan kekusutan moral dan perubahan sistem nilai masyarakat kita sekarang, termasuk anak-anak sekolah yang terpengaruh dengan gejala sosial dan masalah disiplin itu, adalah terletak di atas bahu semua orang di semua peringkat.

Kita tidak mempunyai tongkat sakti untuk menyelesaikan kekusutan ini, tetapi yang perlu dilakukan ialah bertanya diri sendiri, apakah sumbangan yang boleh diberikan, dan apakah peranan yang boleh dimainkan oleh setiap orang bagi menyelesaikan perkara ini?


Tiada ulasan: